Pergilah sahabat semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat bangun dan bangkit semula. Sahabat , dalam menyusuri jalan perjuangan, jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan pedoman dan pengajaran, bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya.
Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh. Sebab itu sahabat, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita iaitu manusia yang faham apa erti kehidupan. Sahabat, perjuangan yang kau tempuhi sebentar lagi akan menyebabkan engkau rasa putus asa, kecewa, sebak dan sedih yang tidak terkata.
Maka kuatkanlah semangatmu, selalulah panjatkan doa kepadaNya, kita jadikan malam-malam sebagai taman munajat kepada Tuhan. Dia tidak akan melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita dikala manusia kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang dan cinta kepada Tuhan.
Cuba pula engkau lihat kebejatan akhlak di negara kita sendiri, tidak mustahil jika suatu hari nanti yang engkau nampak adalah adik, abang dan keluargamu sendiri yang melakukannya. Itukah yang engkau mahu sahabat? Sedangkan kita telah dibekalkan dengan ilmu oleh para guru yang tidak kenal erti penat lelah untuk memastikan para pelajarnya keluar sebagai bukan sahaja orang yang berjaya bahkan juga sebagai da’ie di alam ini. Inginkah engkau lihat saudara-saudara kita terpekik, terlolong di dalam neraka ? sanggupkah engkau lihat ibu ayah kita menangis sepanjang masa di dalam kuburan melihat anak-anaknya tidak menjadi ‘manusia’ yang diinginkan oleh Allah ? dan kemudiannya mereka-mereka itulah akan menarikmu pula ke dalam neraka bersama sebab engkau tidak menjalankan tugasmu sebagai saudara seIslam untuk menegur dan menasihati mereka.
Sebab itu sahabat, sudah aku katakan tadi, cahaya Islam itu semakin suram, api pelitanya yang menerangi alam tidak seperti di zaman-zaman kebesarannya. Para ulama’ dibisukan dengan dunia oleh umara’. Mereka diselubungi oleh ketakutan sepanjang masa untuk menyuarakan yang haq. Agama telah diletakkan di bibir-bibir mereka sahaja.
Mereka faham benar apa yang dimaksudkan di dalam ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” Surah As Saff ayat 2-3. Sebab itu sahabat, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan ikhlas aku menyatakannya kerana aku ingin melihat cahaya Islam itu semakin gemilang, agar Rasulullah mampu tersenyum andainya melihat sinarnya Islam selepasnya tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal ikhlasmu dalam juang HPA ini akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di akhirat sana. Insya Allah…
No comments:
Post a Comment